Thursday, March 31, 2011

UNDER CONSTRUCTION

JUMPA LAGI ..

INSYAALLAH..



~ ~ ~ ~

Alhamdulillah...

Setelah melalui pelbagai 'proses' yang diciptakan sendiri, Alhamdulillah, hari ini merupakan hari terakhir saya di tempat kerja yang mana esok akan bermula di tempat kerja baru yang lebih mencabar sebagai seorang yang baru berjinak di dalam industri ini.

Kalau ada yang ingat dan baca entri lepas berkaitan interview saya, maka mereka akan tahu apa jawatan yang saya sandang di tempat kerja baru esok.

Terima kasih kepada yang memberi pandangan mereka :
sahromnasrudin
anakhajiamir
menongkaharus87
ustazlove

Apa yang saya peroleh adalah kena yakin dengan pilihan sendiri dan sebarang kemungkinan pada masa akan datang jangan terlalu difikirkan, kerana akan menyusahkan diri sendiri.. Seperti kata Al-Qassam pada komennya.

Saya mengaku, sifat yang dapat saya kenali yang ada pada diri yang tidak baik untuk diri adalah apabila saya terlalu fikirkan sebarang kemungkinan sehingga teragak untuk membuat keputusan. Dan nampak kurang matang mungkin!

InsyaAllah, keputusan yang dipilih ini adalah yang terbaik dan saya perlu membuka minda untuk sebarang kemungkinan akan datang.

Perlu ke saya kurangkan kasihan dan serba salah?

Hanya situasi masalah itu yang akan memberi jawapannya...  :-)

.......................................................................

Di dalam kehidupan kita, setiap langkah yang dipilih, ke kanan atau ke kiri, pasti ada alasan dan yang pasti itu juga merupakan taqdir Allah S.w.t.

Bukan tidak perlu untuk memikirkan hati dan perasaan orang lain, tetapi keputusan yang kita ambil itu, baik buruknya akan ditanggung dan dihadapi oleh kita sahaja.

Pihak yang berasa kecewa, atau kurang senang, hanya lah pada saat itu, kemudian kita doakan mereka agar pulih kembali.

"kalau kita belum mampu untuk pilih yang terbaik untuk diri sendiri, boleh ke kita pilih yang terbaik untuk orang lain"...

Sehubungan dengan itu (macam nak buat karangan pula)... selepas ini saya tidak lagi boleh untuk kerap meng'update' blog ini, satu kesedihan mungkin kerana berniatkan 'ilmu' semata semasa saya membuat blog ini.

Wassalam..

P/S: perjuangan sudah bermula sebelum ini, dan akan diteruskan lagi selepas ini..susah senang, pengaduan hanya pada Allah s.w.t... di tikar sejadah, hamba 'termenung'..... Teruskan langkah!

Entri Baik Pilihan Khamis :  (klik kanan ya)

Wednesday, March 30, 2011

Serba Salah atau Salah ?

Baru-baru ini saya berada dalam keadaan serba salah atau sukar untuk membuat keputusan. Antara masa depan atau hati majikan kini.

Saya adalah seorang yang mudah memikirkan perasaan orang sehingga sukar untuk membuat keputusan untuk diri sendiri. Sedangkan bila diaju masalah kepada teman yang rapat, sangat mudah untuk mereka memberi pilihan atau membuat keputusan walhal itu adalah masalah saya.. ^_0

Itu adalah satu kelemahan mungkin? Saya sendiri tidak pasti. Orang lain yang berperasaan juga memikirkan hati orang lain apabila ingin membuat keputusan..... Tetapi saya, akan berlarutan pada mendapat sesuatu keputusan itu hanya kerana kasihankan orang........ Dan akhirnya diri sendiri yang akan dapat sakit kepala yang melampau.. ~ ~ ~ ~

................................................................................
"Daya, macam mana kalau Daya berhadapan dengan apa yang saya lalui sekarang?"... Saya ajukan pada teman rapat..

"Daya buat sengal je..." Sangat mudah jawapan dia.. ;-)

"Buat sengal je? macam mana tu?"... Saya cuba dapatkan kepastian disebalik jawapan dia yang mudah sangat tu! :-)

"Yela, daya akan buat sengal je. mean, kalau apa yang daya buat tu betul, daya terpaksalah lukakan hati orang yang kita sedang berhadapan tu.. susah mariah, kalau kita asyik nak fikir soal hati orang je, kadang-kadang tu boleh la, tapi apa yang mariah lalui sekarang memerlukan mariah buat keputusan yang bijak untuk diri sendiri".....

Begitulah serba sedikit penjelasan teman rapat.

Dan saya, mengambil masa untuk 'termenung' sekejap, bukannya untuk membuat keputusan, tetapi untuk menilik kembali sifat diri ini.

Salah ke kalau kita memikirkan hati orang lain? Atau kita yang salah bila terlalu memikirkan hati orang lain sehingga tak mampu untuk membuat keputusan?

................................................................................

Sepanjang-panjang saya terbelenggu dengan persoalan ini, saya kembali menghadap dan mengadu pada Allah s.w.t yang lebih mengetahui.. Istikharah salah satu cara yang terbaik..

Agar hati ini lebih tenang pada memilih jalan dan apa jua keputusan yang terbaik.. Assalamualaikum..

P/S : Bagi yang lebih makan garam atau gula dari saya, sangat mengalukan pandangan dan nasihat anda semua pada cara kita membuat keputusan yang betul dan bagaimana untuk kita tahu yang kita kadang-kadang perlu melukakan hati orang untuk mendapat keputusan yang baik. Syukran.



Entri baik pilihan Rabu (klik kanan ya)
bisyarah-khabar-gembira

Monday, March 28, 2011

Kesabaran Isteri..

Kenapa seorang isteri boleh menaikkan suara terhadap suaminya tanpa ada rasa bersalah...?

Kenapa seorang isteri memburukkan suaminya dihadapan anak-anak... ?

Kenapa seorang isteri jadi malas nak sambut suaminya pulang..?

Kenapa isteri tak nak lagi ambil peduli apa yang suami dia suka atau tak suka..?

........................................................................

Persoalan ini timbul apabila saya memerhatikan mereka yang terdekat, apabila bibit pertengkaran menampakkan muqaddimahnya.

Ada suami yang sabarrr selalu..isterinya naik suara pun, suami masih boleh sabarrr selalu..
Ada juga suami yang naikkan semula suara menampakkan dia tercabar dengan tidak hormatnya isteri dia..

Apabila isteri bercakap tentang kekurangan suami, maka akan dibalas dengan kekurangan isteri pula oleh suami...yang menjadi Hakim macam dalam mahkamah tu adalah ANAK-ANAK..

Kenapa suami isteri boleh lupa bahawa pertengkaran di hadapan anak-anak boleh memberi kesan negatif pada penilaian mereka terhadap ibubapa mereka??

Siapa yang perlu lebih bersabar? dan siapa yang perlu lebih pada pimpinannya?

Merujuk persoalan saya seperti dia atas, kenapa isteri boleh jadi begitu rupa? dan kalau isteri dah jadi macam tu, adakah anak-anak masih boleh menghormati ayah mereka?

Ibu ibarat pengetua sekolah.. Jika lurus pada segalanya, maka luruslah anak-anak murid.. Kalu ibu suka mengutuk, maka begitulah pada anak-anak.. kalau ibu sangat bersabar, maka begitu juga pada anak-anak..

Memang sifat seorang ibu sangat penting, tetapi yang memimpin seorang ibu atau isteri itu lebih penting..

Maaf kalau saya kata, jika seorang suami atau ayah, tidak ringan tulang, bermaksud 101% meletakkan tugas di rumah kepada isteri sama ada isteri bekerja atau tidak, maka anak-anak akan menjadi seperti ayahnya yang tidak ringan tulang, kebarangkaliannya lebih kepada anak lelaki..

Boleh ke ayah kata "Man, tolong bawa ibu ke pasar ni.." Sedangkan si ayah tidak pernah nak bawa isterinya tetapi mengharapkan anaknya rajin membantu ibunya... mustahil sekali..

Saya tidak cuba untuk berat pada mana-mana belah pihak, cuma saya terkilan dengan sikap isteri yang tidak nampak kedudukan suami yang perlu DIHORMATI..

Pengorbanan isteri sangat perlu pada KESABARAN menghadapi kerenah suami.. hebatnya seorang suami, kerana hebatnya isteri di sebelahnya..

Kerana sifat penyayang itu lebih diberikan pada seorang perempuan, maka isteri perlu lebih pada bersabar.. Dan yang pasti bersabar disusuli dengan doa..

"Ya Allah, aku tidak penat pada memikul tanggungjawab sebagai isteri ini, malah aku redha pada setiap yang telah aku berikan pada keluargaku, dan aku memohon agar diberikan kesabaran pada aku menghadapi segalanya, Ya Allah, Engkau permudahkanlah agar suamiku menjadi sedikit rajin dan ringan tulang pada membantu aku menguruskan rumah dan anak-anak"

Nampak doa ini mudah, tetapi itulah permintaan kita. Andai ada sikap suami yang membuatkan kita sangat  kecewa, maka kembalilah kita pada Allah yang menciptakan kita semua.

Semoga, kelak saya dapat mengambil kesan pada apa yang berlaku dan dapat menjadi isteri yang solehah. InsyaAllah...

saya tak berniat nak letakkan kesalahan pada mana-mana pihak, cuma ingin mencari penyelesaian kerana rumahtangga bagi saya satu amanat besar dan bukan perkara main-main, bukan sekadar sudah jalankan tanggungjawab, malah lebih dari itu..



Friday, March 25, 2011

Dialog kami, Pemerhatian Saya~

Selepas habis belajar di UniKL MIAT tahun lepas, saya menjadi guru tadika sambilan menggantikan guru sedia ada yang baru melahirkan anak...

Ya, memang banyak pengalaman yang saya dapat perihal menyusun atur pendidikan anak-anak kecil ni.. Lebih berat pada amanah yang dipertanggungjawabkan.

Disebalik sesi pendidikan di tadika tersebut, saya lebih suka pada perkongsian dialog antara saya dengan anak-anak kecil ini dan apa yang membuka mata hati saya pada pemerhatian setiap tingkah laku mereka..

6 tahun yang mencuit hati membuka mata

IMAN SAFIYAH
Cikgu Mariah : Iman bawa bekal hari ni, siapa yang buat mee dengan air teh ni?
Iman : Ayah..

Dia, anak kecil berumur 6 tahun yang kehilangan ibu disebabkan wabak H1N1, punya seorang abang bersekolah rendah. Apa yang menyebabkan saya selalu berdialog dengan dia adalah kerana perasaan simpati, setiap hari ayahnya terpaksa lewat ke tempat kerja kerana Iman susah untuk melepaskan ayahnya, berkali-kali salam namun masih merengek.. sehingga ayahnya perlu menaikkan suara sekali sekala.. bagi saya, dia sudah tidak mendapat kasih sayang seorang ibu, maka digantikan dengan permintaan kasih sayang pada ayahnya seorang.. Yang pasti, orangnya bijak dan sangat comel, sampai kawan-kawan lelaki dia seolah 'berkejar' untuk ngorat dia.. hehe

IMAN NUL HAQEEM
Cikgu Mariah : kenapa menangis ni iman?
Iman : tak faham....... 
Cikgu Mariah : cikgu akan ajar Iman kalau Iman berhenti menangis ok..

Iman...murid yang kurang cepat penangkapannya, tetapi sopan, kemas, teliti.. Dia terlalu mudah menangis apabila tak faham ! Bagi saya, sangat bagus, menandakan dia nak faham tanpa melulu terima yang tak faham. 

Stiap kali saya tengah mengajar, pasti mata ni kelih ke arahnya, untuk pastikan mimik muka yang akan mula menangis.. bila dia dah buat muka seolah nak meraung dah......maka.......

Cikgu Mariah : Iman jangan nangis dulu ye, kejap lagi cikgu duduk depan Iman, ajar Iman ye..

Dan dia tidak akan menangis lagi.. :) macam-macam.. (patutlah emaknya sediakan sapu tangan selalu dalam poket..hehe) yang kelakarnya, satu hari tu.....

Cikgu Liza : kenapa nangis ni Iman?
Iman : sapu tangan saya tinggal kat rumah................................

5 tahun yang comel

KHAIRY
Khairy : cikgu! cikgu! dia kecik saya..dia kecik saya macam ni!...

Dengan akal ligat berputar nak fahamkan apa yang murid ini cuba adukan pada saya, sambil mata tengok reaksi dia yang memegang lehernya itu............owh....

Cikgu Mariah : khairy, cekiklah..bukan kecik...

Antara nak mengadu, terus tak jadi sebab dia malu dah salah sebut agaknya.. Khairy, seorang yang sangat aktif tapi saiz badan dia lah yang paling kecil..!

Ada sekali tu, boleh dia menyambil buat kerja sekolah, sambil tu dia menyanyi...

Khairy : eh..waka waka eh..eh..~ ~ ~ ~ ~ ~ ~

Saya pun tak tahu nak tulis liriknya tapi pernah dengar lah lagunya...

Cikgu Mariah : Khairy.... lagu apa yang kamu nyanyi tu..?

Tersengih sengih dia.. Dari lagat dia, saya dapat rasa dia seorang yang kuat menonton TV (namanya kanak-kanak :), dan perbuatan dia banyak yang copy paste dari TV.

Khairy : Cikgu, kenapa cikgu boleh pakai selipar, kitorang tak boleh?...mana aci..
Cikgu Mariah : kalau kamu dengan kawan-kawan pakai selipar, nanti ada yang baling, lepas tu kena kepala, sakit tak? nak ke jadi macam tu?
Khairy : hehe, tak nak lah..

Ade -ade je... sangat comel!

DANI HAZIQ
Sambil mengajar...

Cikgu Mariah : Dani..kamu dengar tak apa yang cikgu ajar ni..?
Kawan-kawan : dia suka nganga cikgu, lepas tu air liur dia keluar...

Memang direct..:) Itulah Dani Haziq. Disebalik 'nganga' dia tu, dia lebih bijak dan cepat tangkap, namun kita hanya sedar kalau ajar dia yang mana saya panggil "1 to 1 lesson".

Saya nak tahu sangat kenapa Dani boleh jadi macam ni, pasti ada sesuatu disebalik kelembutan dan kurang cepatnya dia pada perbuatan.. Sehinggalah satu hari tu...

Mak Dani : ai, mana sotong mak ni... sotong, sotong.. jom balik jom...

Saya : ??????????????   :)   :0  :(

..........................................................................................................

Bermacam-macam kerenah.. yang pasti mereka jujur pada percakapan dan perbuatan.. saya banyak ambil pengajaran pada melibatkan ibubapa, cara ibubapa itu dan apa kesannya pada anaknya..

Perkara biasa pada kita, sangat luar biasa pada mereka.. dan mereka suka kalau kita duduk sama-sama mewarna atau melakukan apa sahaja bersama mereka.. Perbuatan kita sangat cepat mereka ikut dan copy paste.. jadi begitu jugalah bila saya dah jadi seorang ibu nanti..ianya amat memberi kesan pada saya.. amat memberi pengajaran pada menjadi ibubapa itu bukan mudah namun tidak lah susah.. 

cuma yang pasti, perangai anak-anak kecil ini di rumah dan di sekolah, berbeza sama sekali! ;)

Assalamualaikum...
Terima kasih sudi membaca..
Jumpa lagi Insyaallah hari Isnin nanti.. Insyaallah..




Entri baik Pilihan Jumaat (klik kanan ya)

Thursday, March 24, 2011

Kenangan SPM?

Terfikir pula nak buat entri tentang ni, selepas menjenguk di blog Fadzli Amir.

Saya terlambat sewaktu hari pertama peperiksaan! :) Tak silap subjek bahasa Melayu. Tak ingat tarikh tapi tahun 2006 la..

Disebabkan saya menaiki bas ke sekolah, maka hari itu macam biasalah saya gerak keluar dari rumah pukul 6.45, jalan-jalan kaki ke stesen bus, sorang-sorang! 

Nak dijadikan satu ujian pada saya hari tu, jalan jem pula...... bas lambatlah gerak, maka sudah tentu saya pun lambat sampai! Hati sangatlah berdebar waktu tu, dan lagi berdebar bila saya sorang je yang berpakaian seragam sekolah... (nampak sangat saya lambat gerak keluar dari rumah........) 

Sampai sekolah dalam pukul 8.00 tepat kot.. masuk pagar, dengan harapan pelajar masih berbaris, tapi (patutnya dah agak memang dah bersurai...)...

Dah la, kelas yang saya nak duduki peperiksaan berada di tingkat ataaaas sekali, bangunan tu 4 tingkat.. masa panjat satu-satu anak tangga tu, perlahan-perlahan walaupun nak cepat je sampai sebab waktu tu sunyi sangat, mata pelajar lain memang sengaja je nak tumpu ke arah saya, lagilah kelam kabut dibuatnya...

Terjumpa pula guru disiplin, nasib baik cikgu tu 'tak' jadi guru disiplin hari tu, maka dia suruh cepat-cepat masuk kelas... nak pergi ke kelas pula, (dekat hujung sekali tu)... kena lah berhadapan lagi sekali dengan mata-mata yang suka benor pandang, diorang mungkin terkejut sebab..."mariah lambat??" :)

Dengan muka seposen, saya ketuk pintu, dan terus ambil tempat duduk (kali ni nasib baik sebab nama saya mula dengan huruf M, jadi tempat pun dapat yang pertama sekali..), jadi masuk pintu terus lah ke kerusi.. 
Dengan tenang tanpa lupa DOA, saya pun mula menulis nama dan angka giliran...

SALAH tulis......... "eh, awak isi nama dekat tempat angka giliran ni..." nasib baik cikgu tu perasan..

................... :( ..........................

Dah comot muka depan.. redha lagi... saya pun mulakan menjawab dengan memaksa hati ni tenang supaya dapat menggunakan akal fikiran sewarasnya untuk kerah idea nak tulis karangan! 

Tangan menggeletar sambil tulis..... Tapi Alhamdulillah, keputusan Bahasa Melayu saya membuatkan saya tidak lupa pada kenangan ini..

P/S: esoknya awal-awal lagi saya dah keluar rumah!

tak cukup masa ~

"Awak belum pun berdakwah dekat luar-luar sana sampai nak rehat, nak baring je selalu...."

24 jam yang kita ada, perlu dilihat sebagai bukan alasan untuk tak sempat nak siapkan kerja. Betul, saya belum pun menjadi pendakwah sepenuh masa sehinggakan tak ada masa nak melakukan tambahan ibadat, sehinggakan alasan sibuk menjadi pendirian untuk mencukupkan rehat dan meninggalkan tambahan ibadat.

Siang sibuk dengan kerja, malam pula rehat, jadi di mana erti kehidupan kalau perjalanan satu hari masih belum mencabar pun, malah sekadar menuntut hak duniawi, bekerja dan berehat.

Melihat pada usaha dan keringat para pendakwah di luar sana, sambil menjadi seorang pekerja, sambil itu juga mendakwah sambil itu juga dapat menunaikan hak pada sepertiga malam itu. Sungguh mereka lalui lebih dari saya, malah berhadapan dengan masyarakat yang perlu diperbetulkan, bukan senang!

Merasa sangat kerdil diri ini dihadapan Allah. hanya sibuk dengan tanggungjawab duniawi, malah mengeluh lagi seolah tak cukup masa, padahal sendiri yang membazir masa, sendiri yang memilih untuk menangguh kerja sehingga di saat akhir, disalahkan pula masa dan orang sekeliling.

Jika ikut permintaan duniawi, maka kita hanya seolah bermain dengan masa.

.........................................................................................................

>>>terus bermuhasabah.. Wallahu'alam

Wednesday, March 23, 2011

+ + + + + + +

Assalamualaikum...

Hari ni, nak jadi positive...

Yang susah adalah perubahan, tetapi perlu tahu dulu kenapa kena berubah. kan?

Positive sama lah dengan sabar kan?

Masa bila nak guna sabar ni? Sabar ni memang ada dalam diri ke?

...................................................................................................

Bila kita positive, kita akan bersabar. Nak positive, kita kena ajar diri berfikir yang baik-baik je. Ajar diri cipta alasan untuk setiap yang berlaku, tak kiralah orang buat kita ke, keje tak menjadi ke, kena marah ke..

Alasan yang dicipta, kenalah positive maka akan disusuli dengan sabar.
Memang susah untuk sentiasa bersangka baik. Sebab realiti kalau dah memang apa yang berlaku tu adalah negative. Sebab tu perlu ajar diri ni.

Perkara ini juga melibatkan cara kita dibesarkan dan situasi kita membesar. cara kita melihat percakapan mak ayah, cara kita tengok tanggapan diorang terhadap sesuatu, kalau sentiasa positive, amat mudah kita untuk jadi orang yang positive.

Apapun, bila dah besar, kita punya ilmu, kita tahu kena sabar, kita tahu kena positive, maka bergantung pada diri sendiri..

TV pun ada kaitannya. sebab tu kalau boleh tak nak ada TV pun dalam rumah.. boleh ke??

Entri Baik Pilihan Rabu (right click ya)

Tuesday, March 22, 2011

Laluilah untuk satu pengalaman hari esok.

Assalamualaikum..

Apakah yang kita faham tentang pengalaman?
Betul ke kita ni berpengalaman?
Pengalaman dari segi apa tu?
Bagaimana kita mengadaptasi pengalaman dengan hari ini yang kita lalui?

................................................................................

Bila seseorang tengah cakap, kita boleh nilai pengalaman dia..

Bila seseorang sedang buat kerja, pun boleh nampak pengalaman dia..

Lebih dulu makan garam, kata orang tua.. Kita pula terlebih makan gula.. itu yang jadi tidak berpengalamn kot..

Seringkali kita yang kurang pengalaman ini, cuba untuk sangkal pendapat para berpengalaman (ayat pening)..

"Yeke? saya rasa bukan macam tu lah".. contoh..

Kenapa "yeke" ? Adakah untuk menolak satu kebenaran untuk memperlihatkan kepandaian sendiri?emm..

....................................................................................

Kita bercakap berdasarkan pengalaman, sama ada pengalaman itu kita ambil kesannya atau sekadar pengalaman.

Apa yang saya nak tuliskan di sini, isi pentingnya adalah membiarkan diri melalui saat getir pada saat ini dengan keyakinan bahawa ini adalah satu tambahan pada pengalaman.

Tengah terseksa jiwa sekarang dengan pelbagai masalah? Maka, biarkan diri mengalami 'seksaan jiwa' itu untuk mudah kita pada hari esok. Itulah gunanya pengalaman.

Jangan lari dari apa jua situasi pada saat ini.

Saya pernah melihat satu situasi :
Seorang ibu melepaskan anak perempuannya pergi ke sekolah dengan menaiki basikal tanpa ibu itu toleh ke belakang lagi walaupun jelas kelihatan anak itu sedih dan takut untuk mengayuh sorang-sorang. namun, kerana anak itu perlu melaluinya supaya hari esok dia berani dan berdikari...

baca dengan hati agar bisa dapat
kesannya yang melahirkan ketenangan.

Wassalam.

Entri baik pilihan Selasa (right klik ya)



Ye. 45,000....

Assalamualaikum..

Pagi tadi sambil memandu, saya mendengar sedikit ulasan berita dari corong radio islam.

Apa yang memeranjatkan saya adalah berita mengenai kerajaan yang ingin membawa masuk 45,000 warga India untuk dijadikan pekerja di restoran (PPIM)...

Kenapa sampai 45,000?? Itu persoalan saya yang membawa kepada satu kerisauan...

kalau ye pun tidak dapat menggaji pekerja tempatan sendiri, tetapi sekurangnya carilah inisiatif lain. Apa yang berlaku sekarang ni, rungutan warga tempatan tentang kebanjiran warga asing, amat merisaukan, malahan ditolak tepi kerisauan itu demi keuntungan.....


P/S : Diharapkan pihak Kerajaan yang terlibat masih boleh berfikir sejenak demi warga kamu sendiri... Saya tak tahu kenapa saya terlalu risau dengan berita ini.... Bolehla kita baca berita seterusnya dalam akhbar harian..

Monday, March 21, 2011

"patutnya jangan gitu gini ......"

Assalamualaikum...

.................................................................

"Aku tengah ada masalah ni........" Luah Amir sambil menceritakan masalahnya dengan tanpa koma dan titik pun..

Sejenak seusai Ali mendengar keseluruhan cerita Amir itu, "Kau sepatutnya jangan tu, jangan ni, tak boleh macam tu, tak boleh buat gini..............."

Pantas mulut Amir menjawab sambil hati menolak nasihat panjang lebar Ali itu.. "kau tak kena boleh la cakap gitu..."

................................................................

Apa yang ingin saya kongsikan pada hari ini adalah cara kita memberi nasihat.

Seelok-elok nasihat adalah secara kiasan yang diselitkan di dalam penceritaan berdasarkan pengalaman kita yang mungkin pernah menghadapi masalah yang sama.

Seperti contoh perbualan Ali dan Amir tadi, kita dapat bayangkan Amir yang sedang menghadapai masalah besar dan berkemungkinan ingin mendengar nasihat dari Ali.

Tetapi kerana cara Ali menasihati yang agak melulu dan menggunakan perkataan ''jangan, tak boleh'', menyebabkan Amir bertindak untuk menolak nasihat Ali itu.

KIASAN

Berkias pada menasihati atau metafora, sama juga erti dengan kita nasihat secara tidak langsung dan nasihat itu akan masuk di bawah minda tanpa sedar mereka yang mendengar itu.

Contohnya : Ali menjawab pada permasalahan Amir tadi... "Dulu aku pun pernah lalui perkara yang sama......." Ali menceritakan pengalaman dia atau pengalaman yang diambil dari orang lain untuk dijadikan jalan cerita yang diselitkan nasihat.

Maka, dengan mudah Amir untuk  menerima nasihat itu secara tidak langsungnya.

.....................................................................

Apabila kita menasihati dengan mulut, maka akan sampai ke cuping telinga.

Apabila nasihat yang lahir dari jiwa pula, akan terus menyentuh jiwa pendengar.

Dua situasi dan cara yang sangat berbeza tetapi seringkali kita menggunakan kaedah nasihat secara langsung yang hanya mendapat penolakan sahaja. Akhirnya menjadi nasihat yang sia-sia. :-(

....................................................................

Jangan mudah untuk kita mencelah sedang orang bercerita masalah, hanya kerana ingin mengutarakan nasihat dan pandangan.. (No)

Habiskan dulu mendengar cerita dan tunggu sama ada si dia itu ingin meluahkan sahaja atau ingin meminta nasihat. (Yes ><')

Kalaupun si dia ingin nasihat, jangan melulu, guna kaedah nasihat secara tidak langsung tadi. relaxxx... :)

Insyaallah mudah si dia / anak-anak/ kawan/ isteri/ siapapun... untuk menerima nasihat kita .

........................................................................

"Meon, pergi baca buku, keputusan periksa dulu teruk kan, kalau nak pandai lepas ni, rajin-rajinlah baca buku, pergi buat kerja rumah sekarang.."

Paksaan yang hanya akan menerima penolakan.. (patutlah adik saya tak nak dengar nasihat saya, hehe).

Paksaan ke atas anak kecil membawa kepada negatif energi yang sangat kuat!
Maka kita cubalah cara yang baru untuk menasihati dengan menggunakan jalan penceritaan. Mudah-mudahan...

P/S : patutlah mudah je upin ipin dengar nasihat opah diorang ye.. dan sangat menolak nasihat dari kak ros! :)

Entri Baik Pilihan Isnin (right klik ya)
Fakta Penting Dibalik Pelarangan

Friday, March 18, 2011

Termenung seketika untuk mengubah kebiasaan~

Assalamualaikum..

Hari ini, Jumaat, penghulu segala hari, dan masa makin cepat berlalu, rasa baru mula hari Isnin hari tu..kan..?
Mari termenung seketika.. a.k.a bermuhasabah sejenak..

1) mariah, bila mula sahaja hari baru, semat dalam hati dan fikiran untuk membuat yang terbaik pada satu hari anda.

2) mariah, buang sifat bertangguh dan hadapi apa sahaja kemungkinan untuk menyiapkan tugasan.

3) mariah, berilah peranan pada yang memerlukan dan jangan sesekali meminta pengembalian pada hak kamu. Memberilah kerana Allah.

4) mariah, bersangka baiklah dalam apa situasi sekalipun, walaupun sedang berhadapan dengan sekeliling yang menggugah kamu, sangka baik itu perlu, sangat perlu supaya kamu dapat mengambil pengajaran dan bukan mengutuk.

5) mariah, bila tidak tahu tentang sesuatu ilmu agama itu, pergilah mencari akan ilmu itu, kerana jawapan 'tidak tahu' tidaklah akan menyelamatkan kamu sewaktu ingin menjawab di Akhirat kelak.

6) mariah, pelajarilah bagaimana nak mendekati mereka yang perlu dinasihati, jangan biar mereka menjauhi kerana terasa.

7) mariah, bergaullah kamu dengan masyarakat, kerana itu dapat memberi satu pandangan tentang cara dan perbuatan orang disekeliling kamu. Kemudian ambillah pengajaran dan ilmu mereka.

8) mariah, permulaan segalanya adalah pada hati yang bersih, maka bersihkan hati kamu dahulu, jangan biarkan titik-titik hitam bersatu menjadi sepasukan yang menggelapkan hati kamu kelak...


9) mariah, selalulah pandang ke bawah yakni mereka yang lebih susah dan perit perjalanannya supaya kamu tahu erti syukur dan supaya kamu tidak mudah mengeluh dengan kesusahan kamu pula.


10) mariah, selalulah melihat sesuatu yang berlaku itu adalah pada kesalahan atau kecuaian kamu sendiri supaya kamu tidak akan memendam rasa pada sekeliling, sudilah memaafkan kesilapan dan kekurangan orang lain.


11) Dan berterusanlah kamu pada hari-hari yang seterusnya.. tidak dapat banyak, sikit pun mencukupi asalkan istiqamah, hari-hari yang akan datang tambah sedikit demi sedikit.

.................................................................

Apa lagi ye ... sila beri pandangan dan pendapat anda supaya dapat sama-sama kita 'termenung'...

Wassalam...

"bangkit dari jatuh lebih baik dari diri ini terus menyesali sehingga tiada semangat untuk bangkit semula."








Entri baik pilihan Jumaat ; right click ya 
Karamah Fatimah Binti Rasulillah


Thursday, March 17, 2011

Demi Ummah, kita kembali pada kekurangan diri~

Assalamualaikum..

Berpagi-pagi sambil bawa kereta, saya mendengar celoteh DJ IKIM di radio..

Dan topik perbualan pagi ini pada mendengar pendapat ibubapa dan guru tentang situasi persekolahan kini yang nampaknya 'suka' untuk galmor di TV, surat khabar...dll

Kita  saya pula, yang masih belum bekeluarga, tidak ingin mengambil enteng masalah yang kian popular ni. Dan mahu juga mengajak anda semua pada memberi pendapat tentang hal ini.

.........................................................................................

IBUBAPA


Kini kebanyakannya a.k.a memang ramai ibu yang keluar bekerja bersama-sama membantu keluarga kerana kos sara hidup yang agak mahal. Bapa pula memang dah sedia ada bekerja dan kurang sedikit waktunya pada memperhati tingkah laku anak-anak (sebahagiannya).

Bapa dah sibuk, ibu pula akan sibuk, jadi siapa yang nak menyibuk tentang pembesaran/pembelajaran/pendidikan anak-anak?

saya bukanlah orang yang layak pada mempersoal hal ini, tetapi seperti yang saya tulis di atas, perlunya mengambil serius akan hal ini supaya kelak saya ada ilmu dan Insyaallah dapat mencari inisiatif apabila berhadapan dengan situasi yang sama.

Ibubapa saya juga bekerja, sedari saya kecil, jadi sedikit sebanyak saya dapat memahami apabila perkara ini dibangkitkan.

GURU


Ya, guru merupakan mereka yang diberi amanah pada mendidik/mengajar/membentuk akhlak anak-anak murid @ generasi kita.

Tetapi, ingat bukan 101% tanggungjawab diletakkan ke atas guru.

Memang sekolah diibaratkan rumah kedua pada proses pendidikan berlaku, dan guru pula sudah seperti mereka yang amat akrab dan penting dalam kehidupan seseorang pelajar itu.

Ibubapa saya juga seorang guru. Sedikit sebanyak apa yang mereka luahkan, saya dapat mengerti kegembiraan mahupun kelelahan.

..................................................................................

TAHU TANGGUNGJAWAB


Pendapat saya, masing-masing yang sudah tahu pada peranan, perlu bertanggungjawab pada peranan itu.
Difokuskan pada ibubapa dan guru itu sendiri. Kerana skop kita pada pelajar yang masih bersekolah rendah atau menengah.

Mempersoalkan kembali pada apa yang berlaku, dan menjawab sendiri tanpa perlu menunding jari adalah jalan yang terbaik.

Tetapi sukar untuk kita melihat kekurangan dan lekanya kita pada kekurangan itu. Itulah manusia.

Saya bukan arif, tetapi hal ini sangat berkait rapat dengan pembangunan ummah kita. Bukan sekadar hantar ke sekolah, balik rumah kemudian ke sekolah semula.

Apabila masing-masing tahu akan tanggungjawab, Insyaallah tidak akan berlaku kekurangan pada tanggungjawab itu, dan ianya membawa pada mudahnya urusan anak-anak itu pada pembesaran mereka.

Anak dicubit, ibubapa menyalahkan. Pelajar bermasalah, cikgu mencubit.

Saya amatlah tidak arif, tetapi persekitaran yang menyebabkan saya mengutarakan pemerhatian, kerana saya mahu mencari penyelesaian yang terbaik pada pendidikan/pembelajaran anak-anak kelak.. Ummah kita..

''pada mencari penyelesaian kepada sesuatu itu, kembali bermuhasabah akan kekurangan diri dan sudi merubah diri, lengahkanlah dan jangan sesekalipun mudah menunding jari, kembali pada cara Islam, itu yang terbaik''

.................................................................................................

Wassalam..

Entri untuk 'termenung'.. (Right Click ye)



Tuesday, March 15, 2011

Kita yang sombong~~~

"Kenapa tak boleh On pula phone ni...?!"

Rupanya phone Sony saya dah rosak.

Dalam keadaan tengah menunggu panggilan dari syarikat yang saya mohon kerja ni, 
phone sangat diperlukan.. 

..................................................................................................

Setelah disabarkan hati ini,
maka redha mengambil tempat di atas ujian ini,
"pasti ada hikmah!"
Sabar mariah....

...................................................................

"Kita terlalu sombong"
Sedikit kata-kata dari Ustaz yang hadir sebagai tetamu jemputan di IKIM.FM.

Kita masing-masing pernah berhadapan dengan mereka yang meminta sumbangan dan derma di kedai-kedai makan atau di mana sahaja.
Dan waktu itu, kita punya feedback yang berlainan.

Ada yang memberi sumbangan supaya tidak diganggu lagi oleh yang meminta sumbangan itu, 
maka kita tidak akan diganggu lah oleh orang itu.

Ada yang memberi supaya mendapat pahala,
itu ganjaran dari Allah semata.

Ada pula yang mengherdik,
apa pun sifat yang ini tidak elok ye... (NO)

Tetapi tidakkah kita tahu tentang sesuatu disebalik semua itu??
Memasang niat untuk kebaikan diri sebelum menghulurkan derma atau sedekah??
Apa lagi selain kita mengharapkan pahala??

......................................................................................... 

"Ya Allah, semoga sahaja mudah untuk diri ini mencari penyelesaian untuk phone yang rosak,
semoga hari ini baik-baik untuk diriku,
semoga sahaja hari ini diri ini proaktif, aktif"

Kemudian hulurkan derma atau sedekah kepada siapa-siapa pun, 
adik kita ke,
mak kita ke,
masjid ke,
ke ke ke... :)

Dengan itu, kita telah meminta pada Allah SWT,
amiin...
Satu-satunya pengaduan yang dapat menenangkan kembali hati ini..

Sedikit perkongsian di pagi hari selasa ini.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh!

kredit : Syukran UL kerana menjawab soalan saya...


menginsafi dan memperbaiki diri ini...



Entri baik pilihan SelasaIbnuDDin



Friday, March 11, 2011

Dia nak berubah, tapi tak tahu... (part 2)

Sambil air mata mengalir, sambil itu juga tangan Mak Su menyuap nasi yang dibawa ke mulut Rasyid.
"Makanlah Rasyid..." Sayu suara Mak Su.

Di suatu sudut wad mental itu,
Raimi menahan air mata yang berteriak mahu merembes keluar,
walau sebelum ini memang dia tidak menyokong segala perbuatan abangnya itu,
namun tidak sekali dia menyangka 
abangnya akan melakukan perkara sehingga dimasukkan ke wad mental ini.

...............................................................................................................

Kata kawan Rasyid,
waktu itu mereka semua pelik dengan perangai dia,
tiba-tiba dia pergi ke salah sebuah masjid di ibu negara,
di waktu mereka sedang melepak,
"Dia tiba-tiba nak azan walaupun belum pun masuk waktu solat lagi, 
kami memang dah pelik dengan perangai dia,
dia siap ambil kain pelekat wakaf dalam masjid tu,
lepas tu nyorok dalam baju dia"

Begitulah serba sedikit cerita yang diperoleh dari kawan Rasyid.

Lalu, pak cik yang menjaga Masjid itu,
menelefon polis,
disebabkan itulah Rasyid ditahan.

"Dia macam menjerit-jerit waktu kami tahan dia"
Kata pihak polis.

"Sewaktu kami memeriksa pesakit,
dia memang ada meracau-racau lah, 
dan kami syaki dia di bawah pengaruh dadah!"
Itu pula kata dotor.

Sayu, luluh 
hati Mak Su, Pak Nawi dan Raimi sendiri.

.....................................................................................
Rupanya Rasyid sudah sampai ke tahap mengambil ganja.
Dan kerana dia memberontak dengan hak yang dia tidak peroleh,
maka dia mengambil keputusan untuk melupakan stress,
dengan cara, 
merokok di usia muda,
keluar malam balik pagi,
tidak bertanggugjawab terhadap keluarga,
merempit,
mencuri motor,
itu sebahagian dari perbuatan rasyid yang diketahui oleh Raimi.

...............................................................................................................

Selepas peristiwa wad mental itu,
Raimi sedar,
bahawa abang dia ingin sekali berubah,
tetapi kerana tidak tahu cara,
dan kerana tidak diberi kesempatan,
maka hilang keyakinan terhadap diri sendiri menyebabkan Rasyid berputus asa.

Bagaimana Raimi tahu yang abang dia nak berubah??

Kerana selepas ambil ganja,
abangnya itu terus pergi ke masjid berkenaan,
untuk azan dan mengambil kain pelekat untuk solat,
tetapi dengan cara yang salah.....

...............................................................................................

nantikan sambungan part 3 yang mana Rasyid sudah berubah tetapi mula hilang arah kembali!

Ingat, ini kisah benar..

P/s: bagi yg ketinggalan Part 1 :)

Wassalam..




Tuesday, March 8, 2011

Dia nak berubah, tapi tak tahu... (part 1)

Kisah ini adalah kisah benar tentang seorang pemuda yang mencari jalan perubahan tetapi tidak tahu cara yang terbaik. Kisah yang diadaptasi dari sebuah keluarga yang saya kenali.
Nama dan tempat adalah diubahsuai.

.......................................................................................................

"Rasyid!"
"Bangunlah, dah pukul 12 ni, dah tengah hari pun ha, sarapan tak, apa tak!"
Begitulah jerkahan pagi Mak Su pada anak lelakinya, Rasyid yang seringkali membari keresahan pada hatinya setiapkali memikirkan tentang anaknya seorang ini.

Dan bagi Rasyid, jerkahan itu sesuatu yang sudah lali dan tidak ada rasa apa-apa di hatinya,
membiarkan sahaja si ibu menjerit dan resah, Rasyid meneruskan rutin hariannya bersama bantal dan tilam.

"Hish abang ni, tak kesian ke dekat ibu hari-hari dok resah fikir pasal dia!"
"Menyusahkan lah dia ni!"
Begitu sedikit gambaran kata-kata yang dipendam dalam hati kecil si adik kepada Rasyid tadi, Raimi 
kerana sudah tidak tahan lagi dengan perangai abangnya yang tidak kenal erti tanggungjawab dan selalu menyakitkan hati ibu mereka.

Bagi Rasyid, dia tahu dia perlu ubah perangai dia yang selalu keluar malam, balik lewat pagi,
kehidupan seharian yang tidak bermanfaat, dan kerana sifatnya itulah, dia tidak menghabiskan pembelajaran di salah satu Pengajian Tinggi Kerajaan, tidak sempat menghabiskan Diplomanya. 
Tetapi, Rasyid tidak tahu permulaan untuk perubahan, yang dia tahu, dia memberontak kerana dia kurang mendapat perhatian dari ibu dan bapanya.

"Kalau sebab itulah, abang jadi macam ni, cuba fikir Raimi ni sikit, kita punya mak ayah yang sama, jadi kalau abang kata abang kurang kasih sayang dan perhatian, macam tu la juga Raimi, tapi kenapa abang memberontak dan pilih jalan untuk menyusahkan orang lain!"
Jawab hati Raimi kerana dia sedar abangnya itu memberontak.

Suatu hari,
Mak Su menerima satu panggilan dari Pegawai Polis,
"Mak cik, anak makcik, Rasyid sekarang ada di Hospital"

"Di hospital?! kenapa dengan anak saya cik?" Meluru Mak Su bertanya dalam keadaan hatinya yang berdegup kencang tidak terkira.

"Anak mak cik ditahan di wad mental!"

...........................................................................................
Sambungannya pada entri akan datang.
part 2




Monday, March 7, 2011

Tipulah...

Assalamualaikum wbk..
Selawat ke atas Nabi Muhammad dan Para sahabat Baginda.

.............................................................................................

Ye,
Memang tipulah kalau kita kata bila kita sedih, kita hanya perlu ceritakan pada teman yang rapat,
lepas itu, kesedihan itu boleh hilang macam itu sahaja..

Dan memang tipulah kalau kita kata dapat lepaskan tension dengan pergi ke tempat-tempat
yang menyediakan hiburan,
Tak kiralah dekat mana pun, even though dekat CC sekalipun untuk main game atau menulis blog tentang kesedihan dan ke'tension'an kita hari tu..

sekadar waktu itu sahaja,
lepas tu akan datang semula segala kesedihan,
walau sebakul ayat pujukan teman rapat untuk redakan kita,
tidak akan betul-betul menghilangkan kesedihan kita..

Jadi jangan tipulah..

.......................................................................................

Titik tolaknya,
tambah titiknya,

Kita perlukan Allah swt dalam kehidupan harian kita,
segala pengaduan, segala kesedihan,
Allah Maha Mengetahui lebih dari kita sendiri.

Memang betul, kita kata, hilang sedikit kesedihan bila dapat berkongsi,
tetapi ianya hanya memberi semangat,
tidak pula dapat menyelesaikan.

Bila kita diuji dengan pelbagai corak masalah yang datang dari pelbagai sudut kehidupan,
ia adalah panggilan dari Allah swt,
supaya kita kembali mengadu dan membuat pengaduan pada Allah swt.
Kembali mendekatkan diri kita setelah lama kita menjauh dari Pencipta kita sendiri!

Tenangnya bila hati dapat selalu ingat pada Allah SWT!












Wassalam
.................................................................................................

Friday, March 4, 2011

Memandu lah elok-elok~

Assalamualaikum w.b.k..
Dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw serta para sahabat baginda..
.............................................................................................................

Entry kali ini lebih kepada mereka yang memandu..
Tidak kira berlesen apa pun, saya masih P . :)

Banyak yang boleh kita dapat sewaktu memandu, percaya tak?

Tapi apa yang kita boleh dapat tu? Ce citer..

Kita boleh dapat sama ada pahala ataupun sebaliknya...

Bila kita memandu, bermacamlah ragam manusia yang dapat dilihat,
terutamanya yang masih baru dalam memandu ni, macam saya lah..

yang masuk simpang, tak nak beri signal,
adalah salah satu virus di jalan raya.!

yang beri laluan pula merupakan salah satu contoh yang baik,
tetapi janganlah sampai tak bergerak kereta kita pasal beri orang lain laluan je,
marah nanti orang belakang dik! :)

............................................................
Bagi saya, sangatlah menghormati penunggang motosikal,
Saya sangat menjaga bila mereka menyelit-nyelit ni,
dan sangat tidak bersetuju pada pemandu yang tidak beri signal bila nak tukar lorong,
tambah pula dah nampak ada motorsikal yang akan lalu,
tetapi masih nak tukar lorong dan mengharapkan penunggang tadi yang brek dulu.

Janganlah macam tu,
Risiko mereka di jalan raya lebih besar dari kita,
maka tak salah kalau kita mengalah,

Saya selalu mengingatkan kalau-kalau penunggang itu adalah saudara kita,
maka mestilah kita lebih berhati-hati kan.

Setiap pagi, selain 'makan'  jammed,
saya suka mengambil iktibar dari sikap pemandu sekeliling,
supaya kesalahan tidak akan diulang,
walaupun mungkin dianggap remeh..


Kerana menyenangkan orang lain itu,
tuntutan agama islam kita.

P/S : suka tengok motor-motor berbaris panjang di celah-celah kereta menunggu lampu hijau.. :)
dah macam skuad. Dan sangat respect pada penunggang perempuan, sebab saya tak berani nak bawa motor, tapi pandai bawa. ><'

Saya nak tahu juga pendapat anda pula>>> :)

wassalam..




Thursday, March 3, 2011

Asyik senyuman je?

Assalamualaikum w.b.k..
Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabat baginda..

.......................................................................................................

Kita semua pasti pernah buat silap kan?
tak kira lah silap kecil ataupun sebesarnya...
Dan, hanya kita dan Allah yang tahu tentang kesilapan itu..
Tidak elok membuka aib sendiri pada orang lain kan..

Tetapi, kalau kita katakan tentang kesilapan kecil,
yang berlaku tanpa kita sedar,
contohnya macam, salah faham ke,
salah nampak ke,
salah anggap ke,
salah kata ke,
ke ke ke...

jadi, macam mana kita semua menghadapi perasaan bersalah waktu itu?
lagi-lagi bila orang tegur kita,
bertambah merah lah muka kan? :) (macam pernah alami je)

Pendapat saya,
Bila dah sedar waktu tu yang kita memang buat silap,
direct je minta maaf,
dengan senyuman,
orang kata 'buat muka confident'..

Ini juga dikira rendah diri.

Dan, apabila dah selalu kita amalkan ini,
Insyaallah satu hari nanti kita akan mudah untuk menerima kritikan dan teguran,
Kita akan mudah lemparkan senyuman menunjukkan yang kita memang salah.

Kerana tak semua orang boleh terima kesalahan/ kekurangan diri, sehingga menyebabkan dia tidak nampak lagi keburukan yang ada pada diri.. Na'uzubillah..

Bukanlah kita ini sempurna, jadi bila buat silap, terima kesilapan itu, dan berjalan kehadapan,
dengan senyuman,
Yang penting jangan masuk lubang yang sama lagi, kerana itu bukan sifat orang islam.

P/S: orang nak mengata tentang kesilapan kita? Biarkan je, jawab dengan senyuman kerana ia akan naikkan kembali semangt kita..



Wednesday, March 2, 2011

Saya dah maafkan ~

Assalamualaikum semua..
Selamat sejahtera juga..

Tidak lupa selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w

......................................................................................

Pemaaf yang benar-benar memaafkan..
Itu yang kita perlu capai 
apabila bersoalkan tentang memberi kemaafan.

saya ada satu cerita..

Siti bersahabat dengan Nur
(bukan nama sebenar :)

Siti bukanlah seorang yang mudah terasa..
bermaksud tak sensitif la..

tapi satu hari ni, Nur telah buat Siti terasa
dengan percakapan dan perilakunya.

Kerana Siti bukanlah mudah untuk terasa 
maka tang tu juga dia menegur sikap Nur,
yang dah buat dia terasa tu,
tak perlu disimpan lama-lama dalam hati.

Tetapi teguran dengan senyuman di bibir lah..
dengan nada yang tak tinggi,
tak ber pitching pun..
kerana memang niat nak tegur kan..

jadi Nur terkesan dengan teguran itu...

dalam 30 minit lepas tu,
Nur datang semula pada Siti, memohon maaf, bermaksud dia sedar atas kesilapan dia lah

Kebiasaannya,
kalau orang datang pada kita dan meminta maaf,
kita akan lagi terasa (biasanya perempuan lah)
kononya nak majuk lagi lah :)
kebiasaan je la kan..

Jadi, Siti pun dah maafkan,
reaksi Nur pula, dia jadi dah segan dengan Siti, walaupun dia dah minta maaf, seolah dia nak jauhkan diri dari Siti.

jadi, Siti pun sedar tentang ni ,
dan ambil pendekatan untuk memulakan perbualan,
supaya Nur tak kekok lah.

Alhamdulillah..

P/s: anda faham tak apa yang saya nak sampaikan?
:)




....omelan pagi rabu

"kenapa cikgu selalu tulis 'correction' dalam buku latihan?"

"Mestilah cikgu nak suruh buat pembetulan kan selepas dah buat salah supaya lebih baik nanti....."

"Dalam hidup kita pun macam tu dik, adik tak boleh lah buat perangai lagi kalau abang dengan kakak dah tegur, bermaksud kenalah ubah mana yang dah ditegur kan...."

"Adik faham tak mana salah adik ni, kita kena tahu mana silapnya barulah boleh ubah perangai kita...."

"Kita tak boleh sakitkan hati orang dengan mimik muka, atau menjawab bila orang tegur, biarlah kita yang kena sabar dengan perangai orang, kemudian kita maafkan, dapat pahala  kan.."

''Tapi kalau kita tak sabar, asyik nak tunjuk je emosi kita, itu tak boleh , ini tak boleh, semuanya nak merungut, bukan ke susahkan hati orang lain...."

............................................................................................................................

Macam tu lah lebih kurang omelan saya pada adik perempuan saya (darjah 6)
sepanjang-panjang memandu pagi tadi sampai lah ke sekolah dia....

Akak minta maaf ye dik,
kalau tak ditegur sekarang,
akan datang susah adik nak lalui kehidupan..
Walaupun mungkin adik belum faham 101% apa yang akak nak sampaikan pagi tadi.....

:(

Tuesday, March 1, 2011

Anak yang dikagumi~~

"Dapat tak beli barangnya bang?"

Ini soalan yang diaju jiran saya (kak nor) pada anak lelaki dia, sambil-sambil kami bersembang petang semalam.

Kak nor ni, salah seorang ibu yang saya cukup respect. Dia punya 6 orang anak, 5 perempuan (hehe) dan 1 je hero.. berderet semuanya, kecik lagi, yang sulong rasanya tingkatan 1 dan yang bongsu nak masuk setahun mungkin.

"Dia beli apa kak?" saya nak juga tahu :). Sambil terkelih dekat hero kak nor ni, irfan namanya, handsome, macam mix sikit.

"Dia nak makan kueh tiaw (betul ke eja macam ni?) , akak bagi duit cukup-cukup rm15, pandai-pandailah dia beli bahan nak masaknya, tinggal akak masak je nanti." jawab kak nor.

"Dia siapkan semua bahan-bahan lah?" dalam keadaan teruja nak tahu ni, sebab hero tu rasanya baru darjah 4 kot.

"Emm, dia nak makan, dia pegi beli, dia siapkan, tinggal akak masak jela, akak bagi lah duit, pandai-pandailah dia mencukupkan duit tu".. sambil senyum kak nor terangkan macam mana cara dia didik anak dia supaya berdikari.

.....................................................................
Seringkali saya melihat gelagat anak-anak kak nor ni.
Bila nak angkat baju yang diorang sendiri sidai dekat pagar (rumah kami apartment), berderet lah 5 orang semua nak ikut sama, tinggal yang baby dekat rumah dengan kak nor.

Dengan selipar masing-masing yang besar dari kaki mereka, kadang-kadang terjatuh, lepas tu baju yang diangkat pula jatuh. Si kakak memberi arahan sambil marah adik-adik dia supaya jangan jatuhkan baju. macam tu lah gelagat mereka yang membuatkan saya bangga dengan mereka sebenarnya.

Sebab, dari kecil mereka tahu tanggungjawab masing-masing.

Mereka sedar tentang tolong-menolong tu apa.

Mereka tahu kalau susah, kena usaha sendiri.

Mereka berpijak atas kaki mereka sendiri, tak de lagi airmata yang mengalir kerana hati mereka sudah biasa dengan kesusahan.

Kerana, anak-anak seperti ini, bila mereka besar kelak, letak lah mereka dekat ceruk mana pun, situasi apapun, mereka tetap boleh biasakan diri dan tetap boleh survive!

......................................................................
Bila terserempak dengan anak-anak kak nor, mesti saya akan ajukan apa-apa soalan, sambil hati saya berdoa agar mereka kelak, bakal berjaya dalam kehidupan dan tegar dengan sebarang ujian. InsyaAllah!
Kerana mereka faham akan kesusahan, maka mereka tidak mudah menangis!

''cik ani, mana makaroni bulat, saya cari dari tadi tak jumpa pun :)"
Tiba-tiba hero kak nor datang membawa paket makaroni yang saya nak tu.
Nampak sangat kedai runcit cik ani ni dah macam tempat dia bermain!




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...